berilah ruang untuk dirimu... cari Allah dlm ketenangan..


Hidup ini sibuk bukan? Kadang-kadang, kepala kita penuh dengan pelbagai permasalahan yang menyumbat. Masalah diri, masalah keluarga, masalah kerja, masalah rakan-rakan. Segalanya menjadi mehnah dan tribulasi dalam kehidupan.
Sebagai manusia biasa, pasti ada suara di dalam hati kita yang inginkan kerehatan dari kemasyghulan dunia ini. Aku nak rehat! Mungkin itu jeritan jiwa kita.
Boleh kah kita berehat dari kehidupan?
Mungkin anda kata, mustahil. Kemungkinan anda melihat, kematian adalah satu-satunya cara untuk kita berhenti dari menjalani kehidupan.
Tapi pada saya, rehat dari kehidupan ketika kita masih hidup adalah tidak mustahil.
Marilah, kita ambil sedikit masa untuk berehat dari kehidupan kita.

Duduk, Beriman Sebentar.
Mu’az bin Jabal RA pernah menyebut:
“ Marilah kita duduk untuk beriman sebentar”
Kata-katanya pada awal itu, dilihat pelik oleh para sahabat yang lain. Namun akhirnya, semua memahami bicaranya.
Manusia itu terlalu sibuk dengan kehidupannya. Hal itu lah, hal ini lah, sehingga dia terlupa untuk mengecas bateri keimanannya kepada Allah SWT, sehingga dia terlupa untuk bermuhasabah akan kehidupannya, akan ketaatannya, akan pengabdiannya kepada Allah SWT.
“ Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 7-10
Maka, dalam kesibukan urusan kehidupan insan itulah, Mu’az bin Jabal RA menyarankan kita untuk duduk walaupun sebentar, untuk kita memperbaharui, memperkuatkan, mengecas kembali keimanan kita.

Siapakah Yang Mewujudkan Ruang Ini Buat Dirinya?
Maka persoalannya, siapakah yang memberi ruang dalam hidupnya untuk dia mengecas keimanannya?
Bapa saya pernah bercerita berkenaan seorang pemotong pokok. Pemotong pokok itu mempunyai sebatang kapak yang tajam. Lalu dia keluar mencari kerja dengan kapaknya itu. Dia bertemu dengan seorang pemilik hutan, yang ingin menggaji seorang pekerja untuk memotong pokok di dalam hutannya itu. Maka, Si Pemotong Pokok meminta  pekerjaan itu.
Hari pertama, dia berjaya memotong 20 batang pokok. Pemilik hutan itu kagum dan Si Pemotong Kayu meminta  untuk dia melakukan lagi kerjanya esok. Pemilik hutan mengalu-alukan.
Hari kedua, Si Pemotong Pokok hanya  mampu memotong 17 batang pokok. Prestasinya menurun. Dia kehairanan. Kenapa? Lalu dia memberi alasan kemungkinan dia tidak memberikan yang terbaik dalam pekerjaannya hari ini. Lantas dia meminta kepada pemilik hutan untuk datang lagi esok, dan dia berjanji dia akan bersungguh-sungguh.
Hari ketiga, Si Pemotong Pokok bekerja dengan bersungguh-sungguh. Dia menghayun kapaknya kuat-kuat dan laju. Namun, pada penghujung hari itu, dia hanya berjaya menumbangkan 10 batang pokok. Dia amat terkejut. Lebih rendah dari semalam. Semakin hari semakin buruk. Si Pemotong Pokok meminta maaf kepada Pemilik Hutan. Dia berjanji, esok dia akan memperbaiki prestasinya.
Hari keempat,  Si Pemotong Pokok bekerja dengan lebih kuat. Dia mencurahkan seluruh tenaganya. Namun, kerjanya semakin perlahan. Untuk menumbangkan sebatang pokok, memakan masa berjam-jam. Akhirnya, di penghujung hari, dia hanya mampu menumbangkan 5 batang pokok sahaja. Dia sedih, dan kehairanan kenapa prestasinya jatuh teruk sedemikian, walaupun dia berusaha kuat. Dia mengadu akan kelemahannya kepada pemilik hutan.
Pemilik hutan tersenyum. Lalu dia berkata:
“ Kamu terlupa, mengambil waktu rehat, untuk mengasah kapak kamu dengan baik.”

Penutup: Wujudkan Ruang Itu. Cas Keimanan Dirimu.
Ya. Ada waktu, selepas mengharungi pelbagai masalah, mehnah dan tribulasi, kerja dan tugasan, dalam kehidupan yang kita tidak tahu bila penghujungnya hendak menjengah, kita akan rasa keletihan dan kepenatan. Kadangkala kita tersungkur pula di tengah perjalanan.
Hal ini kerana, kita lupa mengambil sedikit masa, berehat untuk mengecas keimanan kita, muhasabah kehidupan kita, hubungan kita dengan Allah SWT. Kita terlupa untuk memperbaiki hubungan kita dengan Akkah, walaupun Allah tidak pernah meninggalkan kita.
“ (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik)” Surah Ad-Dhuha ayat 3
Ambil lah sebentar masa rehat, duduklah berseorangan atau bersama teman, dan bermuhasabahlah akan perjalanan hidup, kondisi hati, dan hubungan kita dengan Allah SWT.
Sematkan azam baru, nyalakan semangat baru, dan suntiklah cita-cita segar untuk perjalanan seterusnya. Dalam setiap perhentian, kerehatan kita itu, kita perbaiki dan pertingkatkan keadaan diri. InsyaAllah, prestasi kita akan tertingkat, semakin tertingkat dan akan terus meningkat.
Mari Menjadi Hamba!

LOTS OF LOVE TO MYSELF.. SYUKRAN ALLAH 

No comments:

Post a Comment